Saturday, June 14, 2014

ISU PEMBINAAN TEMBOK DAN PENUTUPAN PINTU PAGAR DI BELAKANG KONDOMINIUM KRISTAL (Repost)

Assalamualaikum dan salam UiTM dihatiku.

Seperti yang dimaklumkan, pada 22 Mei 2014, pihak Pengurusan Kondominium Kristal telah mengeluarkan notis pemberitahuan kepada penduduk Kondominium Kristal tentang perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam yang bertarikh 12 Februari 2014 yang memerintahkan pihak pemaju, Worldwide Holdings Berhad menutup dan membina tembok di pintu belakang kondominium yang menghubungkan Kondominium Kristal dengan UiTM Shah Alam.

Di pihak Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Shah Alam 13/14, kami sudah sedia maklum tentang aduan para pelajar Non-Resident yang menetap di Kondominium Kristal. Mereka telah membuat surat bantahan dan borang petisyen bagi menguatkan lagi sokongan bantahan tersebut. Sebagai suara pelajar, sudah tentu kami berpihak kepada anda kerana perkara sebegini adalah berkaitan dengan kebajikan pelajar UiTM. Jika pintu pagar itu ditutup, perkara ini akan memberi impak yang besar kerana majoriti pelajar yang menetap di situ tidak mempunyai kenderaan sendiri dan mereka menggunakan pintu pagar tersebut untuk ke fakulti. Pihak pengurusan kondominium juga telah mengeluarkan notis secara mengejut dan ini membuatkan pelajar tidak mendapat makluman awal dan bersedia dengan sebarang kemungkinan terutamanya menjelang peperiksaan akhir tidak lama lagi.

Bagi menyelesaikan perkara ini, wakil daripada Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2013/2014 (MPP) telah pergi ke pejabat pengurusan Kondominium Kristal berjumpa dengan Cik Hasnita Binti Yusof (Eksekutif Bangunan) untuk mendapatkan penjelasan sebenar. Penjelasan yang diberikan pihak pengurusan kondominium mengatakan bahawa pintu pagar di belakang kondominium itu memang akan dirobohkan kerana ia merupakan arahan daripada Mahkamah Tinggi, Shah Alam. Antara sebab penutupan pintu tersebut adalah bertujuan untuk keselamatan penduduk kondominium. Kami juga telah berjumpa dengan Penasihat Undang-Undang UiTM (Pn. Rasanubari) untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak UiTM berhubung isu berkenaan.

Setelah mendapat penjelasan kedua-dua pihak, MPP telah mengusulkan satu jalan penyelesaian iaitu meminta penangguhan kerja-kerja pembinaan tembok dan meruntuhkan pagar sehingga 14 Julai 2014 iaitu hari terakhir peperiksaan akhir semester sesi Mac – Julai 2014. Pihak JMB telah menerima permohonan tersebut dan akan memanjangkan isu berkanaan kepada pihak Worldwide Holdings Berhad untuk membuat pertimbangan semula. Salinan surat permohonan penangguhan telah mendapat perhatian TNC HEP, TNC Penyelidikan dan Inovasi, PNC Pembangunan, Pengurusan Fasiliti dan ICT dan Penasihat Undang – undang UiTM. Oleh itu, tindakan kami seterusnya adalah meminta untuk menghadiri mesyuarat bersama Pengurusan Worldwide Holdings Berhad, JMB dan UiTM dalam masa terdekat..

Kami dari barisan MPP sesi 2013/14 akan berusaha sedaya upaya untuk merealisasikan perkara ini dan segala makluman dan kemas kini tentang isu ini akan disampaikan kepada anda kemudian. Semoga segala urusan dipermudahkan dan dirahmati Allah.

“TRANSFORMASI KEPIMPINAN MENERAJUI WADAH YANG BITARA”.

Nor Izwan Shah Bin Abd Rahim
Exco Aduan Kemudahan & Pengangkutan
Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Shah Alam

*Gambar surat yang telah dicop oleh Pihak Pengurusan Kondominium Kristal dan perbincangan bersama penasihat Undang-undang UiTM.







No comments:

Post a Comment